Pernahkah kita mendengar hadis nabi, yang bermaksud: “Sebaik-baik harta itu ialah, harta yang berada pada tangan orang yang salih.” (Riwayat Imam Ahmad dan Thabrani). Mengapakah begitu? Jawapannya mudah, hanya orang yang salih sahaja yang tahu dan mampu menggunakan hartanya ke jalan yang diredai Allah SWT.
Allah SWT mahu agar kita, manusia menjadi orang yang berharta. Dalam erti kata lain, Allah tidak mahu kita merasa selesa dengan kemiskinan. Hidup dalam serba kesusahan. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Sebab itulah Allah SWT berlaku adil dengan memberikan semua manusia peluang yang saksama membina kehidupan. Allah menyatakan di dalam Al-Quran: “Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia (Allah) mencukupkan (hidupmu).” (Ad-Dhuha: 8 )
Begitu jugalah firman Allah di lembaran Al-Jumuah ayat 10: “Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” Semuanya mendorong kita mencipta kejayaan dan kekayaan dalam hidup.
Apabila manusia menjadi kaya, maka mereka mudah melaksanakan kewajipan sesama insan. Saling memberi dan saling berbahagi. Seperti sebuah lirik lagu nyanyian Opick dari Indonesia: “Alangkah indah, orang bersedekah, dekat dengan Allah, dekat dengan sunnah. Takkan berkurang, harta yang sedekah, akan bertambah, akan bertambah”.
Walau bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan betapa ramai umat manusia yang mendapat kekayaan akhirnya lupa daratan. Mereka menjadi manusia takbur, sombong dan mengingkari arahan Tuhan. Sifat belas kasih sesama insan bertukar menjadi kedekut, pemeras dan penindas.
Hal ini berlaku sepanjang zaman. Allah SWT ada memberi ingat: “Maka kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi, maka tidak ada baginya satu golongan pun yang boleh menolongnya…” (Al-Qasas: 81)
Qarun adalah sepupu Nabi Musa a.s. Dia berfahaman bahawa setiap sen harta yang dia miliki adalah mutlak miliknya. Qarun mengingkari nasihat Musa agar memberikan sedekah dan menyantuni sesama manusia. Kemuncak keingkarannya, Qarun bertindak menindas dan menganiayai kaumnya dan menafikan hartanya itu adalah kurniaan Allah SWT. Mungkin, Qarun adalah pencetus mazhab kapitalisme di dunia ini. Maka, sebagai balasan ke atas keengkarannya itu, dia ditenggelamkan ke dasar bumi dan tenggelamlah juga segala keegoannya yang menguasai diri.
Hakikatnya, Islam mendidik manusia yang berharta agar menjadi manusia mulia. Di samping itu, tiada sebaik-baik tauladan dapat dikutip, melainkan tauladan yang diberikan Nabi Muhammad SAW. Nabi menyatakan: “Bukan orang yang beriman, sesiapa yang tidur malam dengan perut kekenyangan; sedangkan dia mengetahui bahawa jiran di sebelahnya sedang kelaparan,” (Hadis Riwayat At-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Petikan daripada:
Ustaz Hamizul Abdul Hamid (U-HAH)
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
No comments:
Post a Comment